Tentang Tradisi Ngayau

Tentang Tradisi Ngayau

Daftarbudayaindo.web.id – Tradisi Ngayau atau pemburu kepala cukup sinonim dengan kehidupan penduduk Bumi Kenyalang, sekali gus mencetuskan perasaan gerun di kalangan mereka yang belum pernah atau pertama kali berkunjung ke negeri ini.

Biarpun tidak lagi diamalkan, tradisi potong kepala itu masih diperkatakan hingga kini sebagai warisan sejarah masyarakat Iban, etnik majoriti yang mendiami Sarawak, bagi menggambarkan semangat kepahlawanan, keberanian dan kekuasaan mereka.

Malah, tradisi itu juga sebagai lambang martabat sosial seseorang individu dalam kelompok itu, dengan semakin banyak kepala musuh dipenggal dan disimpan, lebih tinggi penghormatan diberikan kepadanya.

Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr Neilson Ilan Mersat, berkata tradisi itu boleh dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan di kawasan sasaran, dengan tujuannya demi survival, ritual dan status.

Katanya, tiada siapa mengetahui bila bermulanya kegiatan memburu kepala itu kerana tidak ada tarikh khusus, namun ia diharamkan sejak era pemerintahan kolonial di bawah Dinasti Brooke.

“Namun, berdasarkan kajian yang dilakukan, kegiatan memburu kepala itu tidak hanya berlaku di Kepulauan Borneo, malah turut diamalkan di negara lain,” katanya.

Menurutnya, di kawasan lain, memenggal kepala itu mungkin berlaku pada peringkat awal seperti zaman jahiliah.

“Apa pun konsep amalannya, ia tetap menjurus kepada perbuatan yang sama iaitu membunuh sesama manusia. Bukannya hanya berlaku di Kepulauan Borneo sahaja. Dalam persekitaran yang buas dan ganas ketika itu, seseorang sanggup membunuh untuk meneruskan kelangsungan hidup atau berdepan risiko dibunuh,” katanya.

Beliau menjelaskan tiada peraturan dan undang-undang berkaitan Ngayau, sebaliknya lebih berpandukan kepada `peraturan rimba’ berpandukan siapa gagah, maka dia akan berkuasa.

Baca Juga : Rambu Solo Upacara Pemakaman dari Toraja

Pahlawan Iban yang disegani

Bagi pesara tentera, Mejar (B) Walter Ted Wong, 73, sejarah tradisi itu tidak perlu diperbesarkan bagi mengelak salah faham atau pandangan negatif di kalangan masyarakat luar, khususnya pelancong yang bertandang ke Sarawak.

“Kita tidak mahu timbul salah anggap, terutama di kalangan mereka yang tidak mengetahui sejarah Sarawak, yang khuatir kepala mereka akan dipenggal jika berkunjung ke rumah panjang. Ini hanya kisah sejarah. Antara pahlawan Iban yang terkenal ialah Temenggung Koh Jubang.

“Beliau memang cukup berani dan berhati waja. Tidak pernah beliau gagal membawa pulang kepala musuh tika keluar berburu.

“Berdasarkan kisah yang disampaikan turun-temurun, kekuatan beliau cukup luar biasa kerana ada roh mengiringinya setiap kali keluar berburu iaitu Remang dan Nabau untuk memerangi musuh,” katanya.

Walter ketika bercerita lanjut, berkata kepala musuh yang dipenggal perlu dijaga rapi dengan upacara ritual.

“Makanan akan dipersembahkan dengan api dinyala bagi mengelak kepala berkenaan mengganggu penduduk,” katanya.

Digemparkan kisah penyamun kepala

Ketua Kaum, Dominic Yon Jaok, 75, berkata selain amalan memburu kepala, penduduk negeri ini pernah digemparkan dengan kisah ‘penyamun kepala’ yang popular sekitar 1980-an yang dilakukan untuk tujuan komersial.

Katanya, cerita ini akan timbul jika ada projek pembangunan berskala besar seperti pembinaan jambatan atau bangunan.

Kononnya, penduduk pedalaman dijadikan sasaran penyamun kepala ini. Kepala yang diperoleh akan dijual kepada kontraktor untuk dijadikan persembahan ritual (semahan) di kawasan pembinaan.

“Ini dilakukan dilakukan bagi tujuan mengukuhkan lagi struktur binaan, malah dipercayai boleh melindungi pekerja dari gangguan makhluk halus,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Simpok, John Jinggut, 66, berkata cerita mengenai penyamun kepala itu memang wujud di kalangan masyarakat.

“Cerita ini akan didengar jika ada projek pembangunan baharu jambatan hendak dibuat. Namun, kesahihan cerita itu tidak dapat dipastikan. Saya rasa mungkin cerita ini hanya digunakan bertujuan menakutkan kanak-kanak supaya mereka tidak keluar rumah pada waktu malam,” katanya.